|
|
|||
| LAMAN UTAMA | KENALI KAMI | PERSEDIAAN KAHWIN | LEPAS KAHWIN |
| PETUA-PETUA KAHWIN | NOSTALGIA | DIREKTORI KAHWIN | RAHSIA KAHWIN |
Cinta Dahulu Sebelum Kahwin?
Oleh: Ustaz Ismail Kamus
Memang ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu
sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama,
selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai.
Ada pula sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin
baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus,
ia bergantung kepada jodoh masing-masing.
Beliau menambah, "Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal
tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai
berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya
itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan
bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar! Jika berlaku
pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri
jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?" soalnya.
Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal
perkenalan. "Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan
pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan
oleh Islam, insya-Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan
tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah
memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau
berzakat sahaja yang patut diambil kira.
Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya
kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan.
Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan,
jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah
suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.
WANITA - Tulang rusuk yang bengkok?
Oleh: Ustaz Ismail Kamus
Walaupun hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh si
suami namun era kini menyaksikan lebih ramai wanita yang sensitif dlm
mengekalkan kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan
pahit maung kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala
membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya
daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok.
Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok,
maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal
selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat, hendaklah
secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus.
Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah
patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si
suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu
tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari
ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang
bengkok, selarnya.